Segala
puji bagi Allah yang menggerakkan hati dan jiwa manusia menuntut ilmu
yang akan menghampirkan diri seorang hamba yang hina kepada Zat Yang
Menciptakannya. Selawat dan salam buat Rasul Muhammad SAW ...
berselawatlah ke atasnya... yang tidak pernah alpa dan putus asa
membimbing ummah sehingga kini agar menuruti jejak ke redha Ilahi. Serta
buat ahli keluarga baginda yang suci dan mulia dan para sahabat yang
menjadi tokoh-tokoh agung dan pemugar semangat perjuangan Islam sehingga
Kiamat.
Peristiwa
nuzul al-Quran menjadi satu rekaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW
hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana
kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran
berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan
Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari
atas ke bawah. Bila disebut bahwa al-Quran adalah mukjizat terbesar
Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam
terutama yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’
bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang
menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat,
muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering
dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau
‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan
al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di
dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam
al-Quran.
[Al-An’am : 38]
Firman Allah: " Dan
tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun
burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat
seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran
ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka
(untuk dihisab dan menerima balasan). "
[Al-An’am : 38]
Al-Quran
adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi
manusia. Segala isi kandungan Al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali
sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, Al-Furqan bererti yang
dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud
yang memberi peringatan.
[Surat Al-`Alaq : 1~5]
Dalam
sejarah kehidupan Nabi SAW ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan
Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail
ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq maksudnya: " Bacalah
(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian
makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan
Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan
tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. "
[Surat Al-`Alaq : 1~5]
Al-Quran
adalah kalam Allah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW, pembawa
amanat yang jujur dan tanggungjawab. Al-Quran yang dibawanya mengandungi
undang-undang dan petunjuk bagi umat Islam dalam mengatur tujuan hidup
dan kehidupan sejagat.
[Surah Al-Baqarah ; 185]
Firman Allah bermaksud: " (Masa
yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya
diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan)
perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari
antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya),
maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam
musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa)
sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan
ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan,
dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu
cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan
Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. "
[Surah Al-Baqarah ; 185]
Apakah
al-Quran? ‘Quran’ menurut pendapat yang paling kuat seperti dikemukakan
Dr Subhi Al Salih bererti ‘bacaan’, asal kata qara’a. Kata al-Qur’an
berbentuk masdar dengan erti isim maf’ul iatu maqru’ (dibaca).
Dalam al-Quran ada pemakaian kata ‘Quran’ seperti ayat 17 dan 18 surah al-Qiyaamah. Firman Allah bermaksud: " Sesungguhnya
Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan
menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah
menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka
bacalah menurut bacaannya itu; "
[Surah Al-Qiyāmah : 17 & 18]
Kemudian
dipakai kata ‘Quran’ untuk al-Quran yang dikenal sekarang ini. Adapun
definisi al-Quran ialah: " Kalam Allah yang juga mukjizat yang
diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad SAW dan yang ditulis di
mushaf dan diriwayatkan dengan mutawatir serta membacanya adalah
ibadah."
Dengan
definisi ini, kalam Allah yang diturunkan kepada nabi selain Nabi
Muhammad SAW tidak dinamakan al-Quran seperti Taurat yang diturunkan
kepada Nabi Musa dan Injil (Nabi Isa). Dengan demikian pula Kalam Allah
yang diturunkan kepada Nabi Muhammad yang membacanya tidak dianggap
sebagai ibadah seperti hadis Qudsi, tidak pula dinamakan al-Quran.
Bagaimanakah al-Quran diwahyukan? Nabi menerima wahyu mengalami pelbagai cara dan keadaan, antaranya:
Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya.
Dalam
hal ini Nabi Muhammad SAW tidak melihat sesuatu pun, hanya berasa ia
sudah berada dalam kalbunya. (Surah Asy Syuura, ayat 51).
[Surah Ash-Shūraá : 51]
"
Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata
dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi),
atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan
mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu
kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya
Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Bijaksana. "
[Surah Ash-Shūraá : 51]
Malaikat
menampakkan dirinya kepada Nabi berupa seorang lelaki yang mengucapkan
kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal kata-kata itu.
Wahyu datang kepadanya seperti gemerincingnya loceng.
Cara
inilah yang amat berat dirasakan Nabi. Kadang-kadang pada keningnya
keluar peluh walaupun ketika wahyu itu turun pada musim sejuk yang
teruk. Ada kalanya, unta yang Baginda tunggangi terpaksa berhenti dan
duduk kerana berasa amat berat apabila wahyu itu turun.
Malaikat
menampakkan dirinya kepada Nabi, tidak berupa seorang lelaki seperti
keadaan di atas, tetapi benar-benar seperti rupanya yang asli. Hal ini
disebut dalam ayat 13 dan 14 surah An-Najm.
[Surah an-Najm : 13~14]
"
Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril,
dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi "Sidratul-Muntaha;
"
[Surah an-Najm : 13~14]
Al-Quran
diturunkan beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23
tahun, 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Hikmah al-Quran
diturunkan secara beransur-ansur itu ialah:
1.
Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan
suruhan dan larangan sekiranya ia diturunkan sekali gus secara banyak.
Hal ini disebutkan oleh Bukhari dan riwayat Aisyah.
2.
Antara ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan
permasalahan pada waktu itu. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya
al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan
adanya nasikh dan mansukh).
3. Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku akan lebih mengesankan dan berpengaruh di hati.
4. Memudahkan penghafalan.
Orang
musyrik bertanya mengapakah Al-Quran tidak diturunkan sekali gus
seperti disebut dalam al-Quran ayat 32, surah al-Furqan. " Mengapakah
al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus? " Dijawab dalam ayat itu
sendiri: " Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan
hatimu."
[Surah Al-Furan : 32 ]
Ada
antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu
pendapat atau perbuatan. Ini sebagaimana dikatakan oleh lbnu ‘Abbas. Hal
ini tidak dapat terlaksana kalau al-Quran diturunkan sekali gus.
Ditinjau
dari segi masa turunnya, maka al-Quran itu dibahagi kepada dua iaitu
ayat Makkiyyah dan Madaniyyah. Ayat yang diturunkan di Makkah atau
sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah dinamakan ayat
Makkiyyah.
Ayat yang diturunkan di Madinah atau selepas Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah pula dinamakan ayat Madaniyyah.
Ayat
Makkiyyah meliputi 19/30 daripada isi al-Quran terdiri atas 86 surah,
sedangkan ayat Madaniyyah meliputi 11/30 daripada isi al-Quran terdiri
atas 28 surah. Perbezaan ayat Makkiyyah dengan ayat Madaniyyah ialah
ayat Makkiyyah pada umumnya pendek, sedangkan ayat Madaniyyah panjang.
Ayat Madaniyyah berjumlah 1,456 dan ayat Makkiyyah 4,780 ayat. Dalam
ayat Madaniyyah ada perkataan " Ya ayyuhalladzi na aamanu " dan sedikit
sekali perkataan " Yaa ayyuhannaas "’, sedangkan dalam ayat ayat
Makkiyyah adalah sebaliknya.
Ayat
Makkiyyah pada umumnya mengandungi hal berhubung keimanan, ancaman dan
pahala, kisah umat terdahulu yang mengandung pengajaran dan budi
pekerti. Ayat Madaniyyah mengandung hukum, baik yang berhubungan dengan
hukum adat atau duniawi seperti hukum kemasyarakatan, ketatanegaraan,
perang, antarabangsa dan antara agama.
Sempena
peristiwa Nuzul Al Quran dan bulan Ramadhan yang mulia, marilah kita
bersama-sama memperbanyakkan bacaan Al Quran dan menghayati isi
kandungannya. Di harapkan, kita semua beroleh pahala yang besar dan
diampunkan dosa-dosa yang silam. Akhir sekali, ayuh bersama-sama kita
merebut peluang yang masih berbaki di bulan ini agar taqwa yang dicari
sejak awal bulan lagi dikurniakan oleh Allah kepada kita semua. Semoga
kita semua sentiasa di bawah rahmat Allah. Aamiin
0 comments:
Posting Komentar